Assalamu'alaikum w.b.t
Teks : Dayana Sanusi
Serba sedikit perkongsian berkenaan diri penulis.
Latar Belakang
"Yang kuat" atau "gagah perkasa"; itulah maksud di sebalik nama Dayana. Do'anya, moga orangnya juga sekuat maksud namanya.
Dilahirkan di Bangi, Selangor. Sewaktu kecil pernah bermastautin di Dengkil, Selangor sehingga menginjak usia 15 tahun dan kemudian menetap di Hulu Langat, Selangor. Pernah juga bermuqim di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Negeri Sembilan setelah berkahwin untuk tempoh beberapa tahun dan kini menetap semula di Hulu Langat, Selangor (suami sambung belajar).
Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Dengkil dan Sekolah Rendah Agama Dengkil, Sepang. Manakala pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sains Selangor. Kemudian, mengambil Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Maklumat di Universiti Tenaga Nasional Kampus Putrajaya.
Pengalaman Kerja & Bisnes
Berpengalaman menjadi tutor multimedia di sekolah rendah ketika latihan industri. Setelah tamat belajar, pernah bekerja sebagai pembantu kedai, pegawai pemasaran di syarikat IT4U, Bangi dan berkhidmat sebagai guru sandaran di beberapa buah sekolah rendah sekitar Hulu Langat.
Sebelum berkahwin, saya dan keluarga ada mengusahakan perniagaan cendol,
soya dan taufufah. Perniagaan dijalankan pada hujung minggu dengan
membuka gerai di pekan kampung saya. Turut menerima tempahan cendol dan
soya untuk majlis-majlis perkahwinan dan juga kenduri kecil-kecilan.
Setiap kali bulan Ramadhan, kami membuka 2 gerai untuk berniaga soya
panas, cendol dan taufufah. Sehingga kini, perniagaan ini masih
diteruskan oleh adik-beradik yang lain dan telah dijenamakan menjadi "Cendol Santika" sempena nama unik moyang kami.
Setelah berkahwin, saya berpindah mengikut suami yang bertugas sebagai guru di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Negeri Sembilan. Niat asalnya untuk rehat beberapa bulan sebelum kembali mencari kerja akhirnya luntur setelah disahkan hamil pada awal perkahwinan. Beberapa lamaran kerja sebagai guru ganti terpaksa ditolak atas beberapa sebab tertentu.
Akhirnya, berjaya menjadi seorang penyeri rumah tangga sepenuh masa (kerjaya yang tidak pernah dimimpikan). Kebetulan pula suami membuka kelas mengaji di rumah kuarters kami. Bermula dari situ, saya berjinak-jinak menjual keropok lekor dan dadih kepada anak-anak yang mengaji. Ada masa-masa tertentu, jumlah kanak-kanak mengaji melebihi bilangan 100 orang. Jadi, di situlah perniagaan kecil-kecilan saya bermula dan hanya dilakukan di dalam rumah.
Kami juga menjual keropok lekor sejuk beku, koyok kaki berubat, produk syarikat HPA, tepung segera kek coklat moist (homemade), kuih raya dan pelbagai jenis kerepek. Pelanggannya terdiri daripada ibu bapa kanak-kanak mengaji, guru-guru sekolah dan juga dihantar ke kedai berhampiran. Sebelum melahirkan anak pertama, saya pernah menjalankan perkhidmatan mereka dan mencetak kad kahwin. Pernah menerima beberapa siri tempahan kad kahwin dari guru-guru dan staf sekolah. Semua aktiviti perniagaan yang saya sebutkan di atas, hanya dijalankan di dalam rumah dengan bantuan dan sokongan suami.
Minat dan Kemahiran
Alhamdulillah bergelar ibu kepada 3 cahaya mata menjadikan minat saya lebih terarah kepada urusan rumah tangga. Memasak resepi yang ringkas dan mencuba resepi yang baru antara rutin harian kegemaran saya. Turut suka membakar kek yang banyak dipelajari daripada ibu saudara saya.
Selain itu, bisnes turut menjadi minat utama saya. Sewaktu sekolah rendah, saya pernah menghasilkan dan menjual cincin dan gelang manik yang dibuat sendiri kepada rakan-rakan perempuan di sekolah. Semenjak tahun akhir di kampus, saya sudah mula memasang niat dan cita-cita untuk menjalankan perniagaan sendiri. Daripada omongan kosong, akhirnya berjaya membuka gerai cendol dengan kerjasama semua ahli keluarga. Menariknya, bermula dengan malu-malu untuk membuka gerai (letak gerai jauh daripada pekan), kini perniagaan cendol Santika sudah mula dikenali di sekitar Hulu Langat, Selangor kerana rasanya yang asli dan isi cendol dihasilkan sendiri di rumah.
Saya menggemari bahan bacaan berasaskan motivasi, bisnes dan juga travelog. Turut gemar mencari dan mendalami ilmu keibu-bapaan daripada bahan bacaan ilmiah, pakar motivasi dan juga medium internet. Juga suka mengamalkan gaya hidup yang lebih alami terutamanya berkenaan makanan dan kesihatan. Sedikit ilmu dan secebis pengalaman yang ada, saya suka kongsikan dengan rakan-rakan dan sering bertukar pendapat dengan mereka.
Matlamat
Alhamdulillah bermulanya detik pernikahan sehingga kini, saya masih lagi bergelar suri rumah tangga sepenuh masa. Sebelum ini hanya melakukan rutin harian seorang ibu dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan secara offline yang tidak konsisten. Atas minat dan cita-cita untuk menjadi WAHM (work at home mom) yang lebih berjaya, saya nekad mewujudkan blog ini sebagai wadah perkongsian dengan semua pembaca di luar sana.
Di sini saya berkongsi tentang ilmu keibubapaan, panduan kesihatan alami, tips WAHM, berkongsi manfaat produk perniagaan, ilmu agama dan sembang-sembang bermanfaat insyaALLAH.
Selamat membaca.
Senyum (",)
Jazakallahukhoiron.
Wassalam.
** dayanasanusi.blogspot.com | 11 Mei 2014 | 4 pagi | @SOHO **