Sunday, 29 June 2014

Jom Bersahur

Teks : Dayana Sanusi

Assalamu'alaikum w.b.t

Jangan tidur waktu bersahur! (gambar : sumber Google)
Antara sunnah berpuasa ialah bersahur. Bersahur itu sendiri membawa kita bangkit daripada tidur pada waktu doa dimustajabkan dan keampunan diberikan. Nabi s.a.w bersabda:
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Keberkatan merupakan suatu elemen yang sangat penting dalam kehidupan seorang Muslim. Ia melebihi nilai kebendaan dan duniawi. Allah Maha Pemberi dengan cara yang dikehendakiNya.

Amalan bersahur yang menepati amalan Nabi s.a.w adalah melewatkan waktu bersahur.  Masuknya waktu subuh adalah petanda imsak (bermulanya puasa) yang sebenar. Kata Zaid bin Thabit:
“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tamar merupakan pilihan yang baik untuk bersahur. Ini kerana ia membekalkan tenaga yang diperlukan ketika berpuasa. Jika tiada tamar, makanlah apa sahaja yang boleh membekalkan tenaga pada badan untuk berpuasa.

“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. 
(Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).


JOM BERSAHUR!

Marhaban ya Ramadhan


 Teks : Dayana Sanusi

Assalamu'alaikum w.b.t

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa." 
 Al-Baqarah (183)

  Selamat menjalani ibadat puasa. 

Ramadhan Kareem  (",)

 (gambar : sumber Google)

Friday, 20 June 2014

Hari Mantai Se-Negeri Sembilan

Teks : Dayana Sanusi

Assalamu'alaikum w.b.t

Menu mantai rumah mertua : Lemang, dodol dan rendang daging.

Menjadi kebiasaan bagi orang Negeri Sembilan menyambut hari mantai sehari sebelum berpuasa Ramadhan. Menunya lebih kurang sama dengan menu pagi raya seperti lemang, rendang (ayam, daging lembu atau itik), dodol dan rendang maman (menu kebesaran untuk orang Moncheh).

Hakikatnya, hari mantai tersebut boleh disamakan dengan hari "bantai" makan (bak kata suamiku) sebab menunya sedap-sedap belaka (macam hari raya). Awas untuk mereka yang dah berpenyakit! Jangan terlebih makan sudah. Bimbang hari pertama Ramadhan sepatutnya berpuasa, kita dah beraya dahulu! Na'uzubillah.

Selamat berpuasa.

Marhaban ya Ramadhan (",)



Panduan Asas Barangan Keperluan Bayi

Teks : Dayana Sanusi

Assalamu'alaikum w.b.t

Memandangkan usia kehamilan semakin menjengah tempoh matangnya, saya sudah mula berkemas dan menyediakan barangan keperluan bayi yang bakal lahir tidak lama lagi. Oleh kerana ini adalah pengalaman menyambut bayi yang ke-4 buat kami sekeluarga, jadi keperluan yang disediakan sangatlah minimal berbanding anak pertama dahulu. 

Hanya membeli beberapa pasang pakaian dan aksesori tertentu sahaja. Pakaian-pakaian yang lama (turun-temurun dari kakak dan abangnya), masih banyak yang elok dan boleh dipakai lagi. Untuk menyedapkan lagi mata memandang, saya melakukan proses basuhan dan rendaman ke atas pakaian-pakaian lama tersebut. Untuk pakaian-pakaian berwarna putih, saya rendam menggunakan bahan peluntur, merendam semula dengan nila dan ditambah pewangi. Hasilnya, pakaian-pakaian tersebut kelihatan sangat berseri, wangi dan cantik lagi untuk dipakai.

Untuk ibu-ibu yang baru, di sini saya sediakan tips dan panduan senarai semak barangan keperluan bayi yang asas. Keperluan asas tersebut terdiri daripada :

Pakaian Asas Bayi
  • Baju lengan panjang dan pendek
  • Seluar panjang dan pendek
  • Sarung kaki dan tangan
  • Barut
  • Kain bedung
  • Topi
Tips :  Digalakkan untuk membeli pakaian bersaiz besar sedikit (6 bulan ke atas) agar tempoh pemakaiannya lebih lama.


Set Tidur
  • Tilam bayi
  • Bantal bayi
  • Bantal peluk
  • Sarung tilam / sarung bantal kepala dan bantal peluk
  • Selimut

Set Penyusuan Bayi
  • Set penyusuan susu ibu (pam payudara, nursing cover, bekas penyimpanan susu ibu dan beg pendingin - biasanya digunakan oleh ibu yang berkerjaya)
  • Set penyusuan susu formula (botol susu bebas BPA, berus botol, susu formula bayi)

Set Mandian Bayi
  • Tuala mandi
  • Sabun / cecair mandian
  • Syampu
  • Besen mandi

Set Penjagaan Bayi
  • Bedak bayi
  • Sikat bayi
  • Losyen (jika perlu)
  • Minyak bayi
  • Pemotong kuku
  • Penyukat suhu badan (termometer digital)

Senarai di atas merupakan keperluan asas untuk bayi yang baru lahir. Tips utamanya, belilah mengikut keperluan bayi tersebut bukan mengikut ghairah ibu bapa yang teruja dan rambang mata. Selain daripada itu, berbelanja mengikut kemampuan poket masing-masing. Senarai semak ini buat rujukan ibu bapa di luar sana dan juga memudahkan rujukan saya selepas ini untuk operasi mengemas barangan bayi.

Wassalam.

Monday, 9 June 2014

Riang ria di Zoo Melaka

Teks : Dayana Sanusi

Assalamu'alaikum w.b.t.

Sempena cuti sekolah pengggal ke-2 2014, kami sekeluarga berkesempatan meluangkan masa untuk anak-anak ke Zoo Melaka yang terletak di Air Keroh, Melaka. Lawatan ini kali ke-2 buat mereka. Kalau sebelum ini, kami bersama-sama berjalan menjamu mata melihat flora dan fauna di situ. Kali ini kami menaiki tram pula mengelilingi Zoo Melaka memandangkan kami sudah kepenatan membeli baju raya anak-anak di pasaraya AEON Air Keroh berdekatan dan melayan karenah "mak buyong" yang sudah agak sarat hamil 8 bulan.

Bezanya lawatan dahulu, kami puas melawat dari satu sangkar ke sangkar yang lain melihat pelbagai spesis binatang dan anak-anak sangat teruja melihatnya secara dekat. Kali ini, lawatan kami hanya berkesempatan melihat binatang-binatang tersebut secara jauh. Rasa juga sedikit ralat. Ada rezeki boleh datang lagi untuk safari night pula. Jika ada yang berminat untuk membawa anak-anak ke sana, sedikit info saya bawakan :

Tiket Orang Dewasa = RM16
Tiket Kanak-Kanak (bawah 3 tahun) dan Warga Emas = RM4
Tiket Tram = RM5 (terkecuali untuk kanak-kanak dan warga emas)
Buggy Ride = RM80

Makanan daripda luar tidak dibenarkan dibawa masuk. Ini kerana terdapat beberapa kes kematian binatang-binatang di dalam zoo tersebut dan dikenal pasti akibat racun pada makanan yang dibawa daripada luar.

Untuk info selanjutnya, boleh layari http://www.melakazoo.com/

Wassalam.

DO'A - Anak Soleh dan Solehah

Teks : Dayana Sanusi

Assalamu'alaikum w.b.t


Hari ini, saya ingin berkongsi do'a yang dibaca oleh Nabi Muhammad SAW untuk Abdullah Ibnu Abbas atau dikenali sebagai Ibnu Abbas. Sehingga beliau dikenali  sebagai seorang ahli hadith, ahli tafsir dan ahli fiqah yang tersohor pada zamannya. Kehebatan ilmunya menjadikan beliau tempat rujukan istimewa di sisi Khalifah Ar-Raashidiin dalam membantu kepimpinan mereka dalam melancarkan hal pentadbiran dan agama. Beliau turut dikenali sebagai orang yang paling mengikuti dan mentaati sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Betapa hebatnya kuasa do'a. Do'anya :


اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
 
(Allahumma faqqihhu fiddin wa a'llimhuttakwil)

MAKSUD

"Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran)."

[Ahmad bin Hanbal, al-Hakim, al-Thabarani (Mu’jam al-Kabir, al-Ausath & Saghier), Ibn Hibban dan lain-lain.]

Kami suami isteri sering bacakan do'a ini bersama anak-anak sebelum mereka memulakan sesi mengaji. Apabila hamil, do'a ini juga yang akan kami bacakan ketika mengusap bayi dalam perut selain lafaz tauhid. Sambil peluk anak, boleh juga usap kepala atau ubun-ubun mereka dan lafazkan do'a ini. Tidak salah untuk kita mendo'akan perkara-perkara hebat yang lain untuk anak-anak kita tetapi alangkah indahnya jika kita mengutamakan do'a-do'a dan sunnah-sunnah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Mari kita mengamalkan do'a ini untuk anak-anak kita. Moga kita bersama beroleh manfaat darinya. Amin.