Sunday, 29 June 2014

Jom Bersahur

Teks : Dayana Sanusi

Assalamu'alaikum w.b.t

Jangan tidur waktu bersahur! (gambar : sumber Google)
Antara sunnah berpuasa ialah bersahur. Bersahur itu sendiri membawa kita bangkit daripada tidur pada waktu doa dimustajabkan dan keampunan diberikan. Nabi s.a.w bersabda:
“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Keberkatan merupakan suatu elemen yang sangat penting dalam kehidupan seorang Muslim. Ia melebihi nilai kebendaan dan duniawi. Allah Maha Pemberi dengan cara yang dikehendakiNya.

Amalan bersahur yang menepati amalan Nabi s.a.w adalah melewatkan waktu bersahur.  Masuknya waktu subuh adalah petanda imsak (bermulanya puasa) yang sebenar. Kata Zaid bin Thabit:
“Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tamar merupakan pilihan yang baik untuk bersahur. Ini kerana ia membekalkan tenaga yang diperlukan ketika berpuasa. Jika tiada tamar, makanlah apa sahaja yang boleh membekalkan tenaga pada badan untuk berpuasa.

“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. 
(Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).


JOM BERSAHUR!

Marhaban ya Ramadhan


 Teks : Dayana Sanusi

Assalamu'alaikum w.b.t

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa." 
 Al-Baqarah (183)

  Selamat menjalani ibadat puasa. 

Ramadhan Kareem  (",)

 (gambar : sumber Google)

Friday, 20 June 2014

Hari Mantai Se-Negeri Sembilan

Teks : Dayana Sanusi

Assalamu'alaikum w.b.t

Menu mantai rumah mertua : Lemang, dodol dan rendang daging.

Menjadi kebiasaan bagi orang Negeri Sembilan menyambut hari mantai sehari sebelum berpuasa Ramadhan. Menunya lebih kurang sama dengan menu pagi raya seperti lemang, rendang (ayam, daging lembu atau itik), dodol dan rendang maman (menu kebesaran untuk orang Moncheh).

Hakikatnya, hari mantai tersebut boleh disamakan dengan hari "bantai" makan (bak kata suamiku) sebab menunya sedap-sedap belaka (macam hari raya). Awas untuk mereka yang dah berpenyakit! Jangan terlebih makan sudah. Bimbang hari pertama Ramadhan sepatutnya berpuasa, kita dah beraya dahulu! Na'uzubillah.

Selamat berpuasa.

Marhaban ya Ramadhan (",)



Panduan Asas Barangan Keperluan Bayi

Teks : Dayana Sanusi

Assalamu'alaikum w.b.t

Memandangkan usia kehamilan semakin menjengah tempoh matangnya, saya sudah mula berkemas dan menyediakan barangan keperluan bayi yang bakal lahir tidak lama lagi. Oleh kerana ini adalah pengalaman menyambut bayi yang ke-4 buat kami sekeluarga, jadi keperluan yang disediakan sangatlah minimal berbanding anak pertama dahulu. 

Hanya membeli beberapa pasang pakaian dan aksesori tertentu sahaja. Pakaian-pakaian yang lama (turun-temurun dari kakak dan abangnya), masih banyak yang elok dan boleh dipakai lagi. Untuk menyedapkan lagi mata memandang, saya melakukan proses basuhan dan rendaman ke atas pakaian-pakaian lama tersebut. Untuk pakaian-pakaian berwarna putih, saya rendam menggunakan bahan peluntur, merendam semula dengan nila dan ditambah pewangi. Hasilnya, pakaian-pakaian tersebut kelihatan sangat berseri, wangi dan cantik lagi untuk dipakai.

Untuk ibu-ibu yang baru, di sini saya sediakan tips dan panduan senarai semak barangan keperluan bayi yang asas. Keperluan asas tersebut terdiri daripada :

Pakaian Asas Bayi
  • Baju lengan panjang dan pendek
  • Seluar panjang dan pendek
  • Sarung kaki dan tangan
  • Barut
  • Kain bedung
  • Topi
Tips :  Digalakkan untuk membeli pakaian bersaiz besar sedikit (6 bulan ke atas) agar tempoh pemakaiannya lebih lama.


Set Tidur
  • Tilam bayi
  • Bantal bayi
  • Bantal peluk
  • Sarung tilam / sarung bantal kepala dan bantal peluk
  • Selimut

Set Penyusuan Bayi
  • Set penyusuan susu ibu (pam payudara, nursing cover, bekas penyimpanan susu ibu dan beg pendingin - biasanya digunakan oleh ibu yang berkerjaya)
  • Set penyusuan susu formula (botol susu bebas BPA, berus botol, susu formula bayi)

Set Mandian Bayi
  • Tuala mandi
  • Sabun / cecair mandian
  • Syampu
  • Besen mandi

Set Penjagaan Bayi
  • Bedak bayi
  • Sikat bayi
  • Losyen (jika perlu)
  • Minyak bayi
  • Pemotong kuku
  • Penyukat suhu badan (termometer digital)

Senarai di atas merupakan keperluan asas untuk bayi yang baru lahir. Tips utamanya, belilah mengikut keperluan bayi tersebut bukan mengikut ghairah ibu bapa yang teruja dan rambang mata. Selain daripada itu, berbelanja mengikut kemampuan poket masing-masing. Senarai semak ini buat rujukan ibu bapa di luar sana dan juga memudahkan rujukan saya selepas ini untuk operasi mengemas barangan bayi.

Wassalam.

Monday, 9 June 2014

Riang ria di Zoo Melaka

Teks : Dayana Sanusi

Assalamu'alaikum w.b.t.

Sempena cuti sekolah pengggal ke-2 2014, kami sekeluarga berkesempatan meluangkan masa untuk anak-anak ke Zoo Melaka yang terletak di Air Keroh, Melaka. Lawatan ini kali ke-2 buat mereka. Kalau sebelum ini, kami bersama-sama berjalan menjamu mata melihat flora dan fauna di situ. Kali ini kami menaiki tram pula mengelilingi Zoo Melaka memandangkan kami sudah kepenatan membeli baju raya anak-anak di pasaraya AEON Air Keroh berdekatan dan melayan karenah "mak buyong" yang sudah agak sarat hamil 8 bulan.

Bezanya lawatan dahulu, kami puas melawat dari satu sangkar ke sangkar yang lain melihat pelbagai spesis binatang dan anak-anak sangat teruja melihatnya secara dekat. Kali ini, lawatan kami hanya berkesempatan melihat binatang-binatang tersebut secara jauh. Rasa juga sedikit ralat. Ada rezeki boleh datang lagi untuk safari night pula. Jika ada yang berminat untuk membawa anak-anak ke sana, sedikit info saya bawakan :

Tiket Orang Dewasa = RM16
Tiket Kanak-Kanak (bawah 3 tahun) dan Warga Emas = RM4
Tiket Tram = RM5 (terkecuali untuk kanak-kanak dan warga emas)
Buggy Ride = RM80

Makanan daripda luar tidak dibenarkan dibawa masuk. Ini kerana terdapat beberapa kes kematian binatang-binatang di dalam zoo tersebut dan dikenal pasti akibat racun pada makanan yang dibawa daripada luar.

Untuk info selanjutnya, boleh layari http://www.melakazoo.com/

Wassalam.

DO'A - Anak Soleh dan Solehah

Teks : Dayana Sanusi

Assalamu'alaikum w.b.t


Hari ini, saya ingin berkongsi do'a yang dibaca oleh Nabi Muhammad SAW untuk Abdullah Ibnu Abbas atau dikenali sebagai Ibnu Abbas. Sehingga beliau dikenali  sebagai seorang ahli hadith, ahli tafsir dan ahli fiqah yang tersohor pada zamannya. Kehebatan ilmunya menjadikan beliau tempat rujukan istimewa di sisi Khalifah Ar-Raashidiin dalam membantu kepimpinan mereka dalam melancarkan hal pentadbiran dan agama. Beliau turut dikenali sebagai orang yang paling mengikuti dan mentaati sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Betapa hebatnya kuasa do'a. Do'anya :


اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
 
(Allahumma faqqihhu fiddin wa a'llimhuttakwil)

MAKSUD

"Ya Allah, berilah kefahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkannya Takwil (tafsir al-Quran)."

[Ahmad bin Hanbal, al-Hakim, al-Thabarani (Mu’jam al-Kabir, al-Ausath & Saghier), Ibn Hibban dan lain-lain.]

Kami suami isteri sering bacakan do'a ini bersama anak-anak sebelum mereka memulakan sesi mengaji. Apabila hamil, do'a ini juga yang akan kami bacakan ketika mengusap bayi dalam perut selain lafaz tauhid. Sambil peluk anak, boleh juga usap kepala atau ubun-ubun mereka dan lafazkan do'a ini. Tidak salah untuk kita mendo'akan perkara-perkara hebat yang lain untuk anak-anak kita tetapi alangkah indahnya jika kita mengutamakan do'a-do'a dan sunnah-sunnah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Mari kita mengamalkan do'a ini untuk anak-anak kita. Moga kita bersama beroleh manfaat darinya. Amin.

Friday, 30 May 2014

Penangan Air Gula

Teks : Dayana Sanusi

Assalamu'alaikum.

Jam 10 pagi kami sekeluarga sudah terpacak di Klinik Dr.Najwa, Bangi. Kali ini bagi menyelesaikan misi minum air gula. Oh, rasanya itu adalah antara rutin yang paling tidak digemari bagi ibu hamil. Membayangkan perlu meneguk segelas air glukosa yang pekat memasuki ruang anak tekak. Sungguh menyeksakan. Apatah lagi sebelum itu perlu berpuasa dari jam 10 malam tanpa mengambil air dan sebarang makanan. Tips minum air gula sebelum ini, minum air tersebut seteguk atau dua teguk dan habiskan terus. Jangan minum sedikit-sedikit.

Pengalaman hamil sebelum ini, misi minum air gula dilakukan di klinik kesihatan kerajaan. Kali ini, di klinik Dr. Najwa jadi pilihan. Masuk sahaja, setelah diambil sedikit darah untuk bacaan gula, saya diberikan sebotol air berisipadu 300ml air gula. Minum sahaja air tersebut, sudah terasa nikmatnya di tekak. Sedap rupanya air gula ni. Rasa air isotonik yang terlebih manis. Tak menyesal minum.

2 jam selepas itu, datang kembali untuk ambil bacaan darah selepas minum air glukos. Alhamdulillah, normal semuanya. Bacaan darah sebelum minum air glukos (4.3) dan selepas minum air glukos (6.5).

Saturday, 10 May 2014

Ahlan Wa Sahlan

Assalamu'alaikum w.b.t

Teks : Dayana Sanusi

“Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepada kalian. Adakah Pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kalian dari langit dan bumi? Tidak ada yang berhak disembah selain dia, maka mengapa kalian berpaling?” (Fathir: 3)

Alhamdulillah 'ala kulli hal. Segala puji dan syukur kepada-Mu ya Allah yang memberikan nikmat iman dan nikmat Islam untuk kita semua.

Dengan lafaz Bismillaahirrohmaanirrohiim, saya memulakan langkah pertama menulis dalam ruangan maya ini. Bukan sekadar berceloteh tetapi juga melakar perkongsian dan panduan bersama pembaca di luar sana. Bukan sekadar berkongsi tetapi juga punya cita-cita dan impian untuk menjadi WAHM yang berjaya. Amin.

Salam perkenalan untuk semua. 

Selamat membaca. 

Senyum (",)

Jazakallahukhoiron.

Friday, 9 May 2014

Kenali Penulis

Assalamu'alaikum w.b.t

Teks : Dayana Sanusi


Serba sedikit perkongsian berkenaan diri penulis.



Latar Belakang

"Yang kuat" atau "gagah perkasa"; itulah maksud di sebalik nama Dayana. Do'anya, moga orangnya juga sekuat maksud namanya.

Dilahirkan di Bangi, Selangor. Sewaktu kecil pernah bermastautin di Dengkil, Selangor sehingga menginjak usia 15 tahun dan kemudian menetap di Hulu Langat, Selangor. Pernah juga bermuqim di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Negeri Sembilan setelah berkahwin untuk tempoh beberapa tahun dan kini menetap semula di Hulu Langat, Selangor (suami sambung belajar).

Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Dengkil dan Sekolah Rendah Agama Dengkil, Sepang. Manakala pendidikan menengah di Sekolah Menengah Sains Selangor. Kemudian, mengambil Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Maklumat di Universiti Tenaga Nasional Kampus Putrajaya.


Pengalaman Kerja & Bisnes

Berpengalaman menjadi tutor multimedia di sekolah rendah ketika latihan industri. Setelah tamat belajar, pernah bekerja sebagai pembantu kedai, pegawai pemasaran di syarikat IT4U, Bangi dan berkhidmat sebagai guru sandaran di beberapa buah sekolah rendah sekitar Hulu Langat.

Sebelum berkahwin, saya dan keluarga ada mengusahakan perniagaan cendol, soya dan taufufah. Perniagaan dijalankan pada hujung minggu dengan membuka gerai di pekan kampung saya. Turut menerima tempahan cendol dan soya untuk majlis-majlis perkahwinan dan juga kenduri kecil-kecilan. Setiap kali bulan Ramadhan, kami membuka 2 gerai untuk berniaga soya panas, cendol dan taufufah. Sehingga kini, perniagaan ini masih diteruskan oleh adik-beradik yang lain dan telah dijenamakan menjadi "Cendol Santika" sempena nama unik moyang kami.

Setelah berkahwin, saya berpindah mengikut suami yang bertugas sebagai guru di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Negeri Sembilan. Niat asalnya untuk rehat beberapa bulan sebelum kembali mencari kerja akhirnya luntur setelah disahkan hamil pada awal perkahwinan. Beberapa lamaran kerja sebagai guru ganti terpaksa ditolak atas beberapa sebab tertentu.

Akhirnya, berjaya menjadi seorang penyeri rumah tangga sepenuh masa (kerjaya yang tidak pernah dimimpikan).  Kebetulan pula suami membuka kelas mengaji di rumah kuarters kami. Bermula dari situ, saya berjinak-jinak menjual keropok lekor dan dadih kepada anak-anak yang mengaji. Ada masa-masa tertentu, jumlah kanak-kanak mengaji melebihi bilangan 100 orang. Jadi, di situlah perniagaan kecil-kecilan saya bermula dan hanya dilakukan di dalam rumah.

Kami juga menjual keropok lekor sejuk beku, koyok kaki berubat, produk syarikat HPA, tepung segera kek coklat moist (homemade), kuih raya dan pelbagai jenis kerepek. Pelanggannya terdiri daripada ibu bapa kanak-kanak mengaji, guru-guru sekolah dan juga dihantar ke kedai berhampiran. Sebelum melahirkan anak pertama, saya pernah menjalankan perkhidmatan mereka dan mencetak kad kahwin.  Pernah menerima beberapa  siri tempahan kad kahwin dari guru-guru dan staf sekolah. Semua aktiviti perniagaan yang saya sebutkan di atas, hanya dijalankan di dalam rumah dengan bantuan dan sokongan suami.


Minat dan Kemahiran

Alhamdulillah bergelar ibu kepada 3 cahaya mata menjadikan minat saya lebih terarah kepada urusan rumah tangga. Memasak resepi yang ringkas dan mencuba resepi yang baru antara rutin harian kegemaran saya. Turut suka membakar kek yang banyak dipelajari daripada ibu saudara saya.

Selain itu, bisnes turut menjadi minat utama saya. Sewaktu sekolah rendah, saya pernah menghasilkan dan menjual cincin dan gelang manik yang dibuat sendiri kepada rakan-rakan perempuan di sekolah.  Semenjak tahun akhir di kampus, saya sudah mula memasang niat dan cita-cita untuk menjalankan perniagaan sendiri. Daripada omongan kosong, akhirnya berjaya membuka gerai cendol dengan kerjasama semua ahli keluarga. Menariknya, bermula dengan malu-malu untuk membuka gerai (letak gerai jauh daripada pekan), kini perniagaan cendol Santika sudah mula dikenali di sekitar Hulu Langat, Selangor kerana rasanya yang asli dan isi cendol dihasilkan sendiri di rumah.


Saya menggemari bahan bacaan berasaskan motivasi, bisnes dan juga travelog. Turut gemar mencari dan mendalami ilmu keibu-bapaan daripada bahan bacaan ilmiah, pakar motivasi dan juga medium internet. Juga suka mengamalkan gaya hidup yang lebih alami terutamanya berkenaan makanan dan kesihatan. Sedikit ilmu dan secebis pengalaman yang ada, saya suka kongsikan dengan rakan-rakan dan sering bertukar pendapat dengan mereka.


Matlamat 

Alhamdulillah bermulanya detik pernikahan sehingga kini, saya masih lagi bergelar suri rumah tangga sepenuh masa. Sebelum ini hanya melakukan rutin harian seorang ibu dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan secara offline yang tidak konsisten. Atas minat dan cita-cita untuk menjadi WAHM (work at home mom) yang lebih berjaya, saya nekad mewujudkan blog ini sebagai wadah perkongsian dengan semua pembaca di luar sana. 

Di sini saya berkongsi tentang ilmu keibubapaan, panduan kesihatan alami, tips WAHM, berkongsi manfaat produk perniagaan, ilmu agama dan sembang-sembang bermanfaat insyaALLAH. 

Selamat membaca.

Senyum (",)

Jazakallahukhoiron.

Wassalam.


** dayanasanusi.blogspot.com | 11 Mei 2014 | 4 pagi | @SOHO **